Home Info Guru Kenali Dr. Maszlee Malik – Menteri Pendidikan Malaysia

Kenali Dr. Maszlee Malik – Menteri Pendidikan Malaysia

by Cikgu Ayu dot My

Sekalung ucapan tahniah kepada YB Dr. Maszlee Malik atas pelantikan beliau sebagai Menteri Pendidikan Malaysia ke-19. Pelantikan ini telah dibuat secara rasmi setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad v di Istana Negara petang tadi.

Kelahiran Johor

YB Dr. Maszlee Malik dilahirkan di Johor Bahru. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (STAR) (2) dan kemudiannya ke Maktab Sultan Abu Bakar (English College). Pada tahun 1989, beliau telah menyertai Madrasah al-Quran Waddin dan kemudiannya ke Maahad Johor.

Lulusan Luar Negara

Setelah itu permusafiran ilmunya dilanjutkan ke Jordan sehingga berjaya mendapatkan ijazah sarjana muda dari Universiti Al al-Bayt, Jordan dan kemudiannya meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya. Kedua-duanya dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh. Dengan izin Allah,YB Dr. Maszlee Malik telah melanjutkan pelajaran di School of Governments and International Affairs (SGIA) di University of Durham pada tahun 2007 dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang Good Governance pada tahun 2011.

Bekas Profesor Madya di UIAM

YB Dr. Maszlee Malik pernah bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau telah berkhidmat di sana sejak tahun 2000 hingga 2018. YB Dr. Maszlee Malik juga merupakan ahli Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID), ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia, dan penasihat ahli lembaga kepada beberapa NGO dan badan pendidikan seperti Teaching for the Needs (TFTN), Pusat Pendidikan Downsyndrome Orkids (ORKIDS), Pertubuhan Darul Fitrah, IDEAS Autism Centre, Lembaga Pusat Pendidikan al-Amin dan juga penaung kepada Kelab Penyokong Kelab Bola Sepak Manchester City Malaysia.

Aktif Sebagai Ahli Pemikir

Di media pula,YB Dr. Maszlee Malik lebih dikenali sebagai moderator debat dan wacana politik serta penganalisis politik Timur Tengah, pemikiran politik Islam dan juga gerakan Islam kontemporari. YB Dr. Maszlee Malik kini merupakan Ahli Parlimen P151 Simpang Renggam yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

 

Sumber: http://www.telagabiru.com.my/

 

Related Posts

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.