Home Isu Semasa Keldai akaun dan kaitannya dengan scammer

Keldai akaun dan kaitannya dengan scammer

by Cikgu Ayu dot My
Keldai akaun dan scammer

Sejak akhir-akhir ini, makin rancak berleluasa kes-kes penipuan. Scammer (penipu) sana-sini. Benar-benar mereka ini mengambil kesempatan apabila semakin ramai berada dalam talian.

Kecelakaan ini takkan berjaya tanpa wujudnya keldai akaun. Juga takkan berhasil jika kita semua peka dengan tipu daya penipu ini. Kalau dulu penipuan ni dibuat melalui panggilan telefon, sekarang melalui internet; media sosial atau aplikasi sosial yang lain.

Apa yang dimaksudkan dengan keldai akaun?

Keldai akaun ini merujuk kepada individu atau organisasi yang membenarkan pihak ketiga menggunakan akaunnya. Sama ada terpedaya dengan habuan yang bakal diperoleh, atau terperangkap semasa berhutang dengan Ah Long, kesalahannya tetap jenayah.

Sindiket penipuan ini akan mendapatkan kad ATM dan nombor pin keldai akaun. Bermula dari sinilah mereka menipu mangsa dengan pelbagai helah; Macau Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

Scammer akan menggunakan akaun keldai ini untuk mencari mangsa. Mangsa-mangsa ini akan dihubungi dan ‘dipukau’ dengan bermacam-macam cara. Hanya waspada yang boleh mengelakkan diri kita terjebak.

Apa itu Macau Scam?

Macau Scam bukanlah disebabkan orang dari China yang menipu kita. Penipu ini hampir semuanya orang-orang Malaysia juga. Dipanggil Macau Scam kerana dipercayai modes operandi ini dikesan buat pertama kalinya di sebuah wilayah di China.

Pelaku akan menggunakan talian komunikasi tempatan atau antarabangsa untuk memperdaya mangsa menyerahkan wang dalam jumlah yang besar kepada mereka. Perbuatan jenayah ini bukan sahaja berlaku di China atau Taiwan, namun telah merebak ke negara-negara Asia yang lain, termasuklah Malaysia.

Scammer menyamar untuk meminta sejumlah wang

Kebijaksanaan bukanlah penentu. Ramai juga golongan cerdik pandai yang terpedaya. Lihat sahaja berita-berita semasa, ahli golongan professional juga pernah hilang puluhan ribu wang. Menyedihkan, peluang untuk dapat semula wang memang tipis. Hampir mustahil.

Antara helah yang sering digunakan ialah:

  1. Menyamar menjadi organisasi atau kumpulan yang menganjurkan peraduan atau cabutan bertuah dan meminta ‘deposit’ sebagai cagaran hadiah yang lebih lumayan.
  2. Menyamar sebagai pegawai dan mendakwa mangsa terlibat dengan kes saman atau jenayah berkaitan dadah, penggubahan wang haram dan sebagainya.
  3. Mendakwa mangsa telah gagal membuat pembayaran kad kredit dan meminta mangsa memindahkan wang untuk mengelakkan nama disenarai hitam.
  4. Menipu mangsa dengan menyatakan mangsa ada membuat pesanan barang dari luar negara dan perlu membayar cukai.
  5. Menyamar sebagai kenalan dan meminjam untuk pinjam sejumlah wang.

Tindakan yang perlu dilakukan apabila berhadapan Scammer

Terdapat institusi yang bertindak melatih anggota sindiket untuk menipu. Jangan panik apabila dihubungi oleh scammer. Jadi, amat penting untuk kita terus berwaspada agar tidak terpedaya dengan taktik dan muslihat mereka. Jika dihubungi oleh scammer:-

  1. Jangan panik atau ikut arahan yang diberikan oleh penipu.
  2. Ambil masa untuk menghubungi polis atau institusi kewangan yang terlibat untuk membuat semakan. Jangan hubungi nombor yang diberikan oleh mereka.
  3. Jangan sesekali berkongsi butiran peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor kad bank atau nombor kad kredit.
  4. Berhubung terus dengan organisasi yang terlibat menggunakan nombor rasmi. Rujuk laman sesawang rasmi.
  5. Tidak perlu malu atau takut untuk tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Akhir Kata

Semoga dengan tulisan Keldai akaun dan kaitannya dengan scammer ini dapat memberikan input kepada semua. Sebarkan juga supaya rakan-rakan dan ahli keluarga kita tidak akan termakan dengan tipu muslihat puak penipu ini.

Doa-doa Allah sentiasa lindungi kita semua dari perkara-perkara yang tidak baik. Jangan lupa untuk sertai:  Telegram Cikgu Ayu dot My juga ya! ðŸ™‚

Related Posts

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.