Latihan Bahasa Melayu (Ayat Seruan)

1
8375

Pembelajaran seterusnya melibatkan pembelajaran Ayat Seruan. Pembelajaran tentang ayat seruan ini dipetik dalam beberapa topik.

Boleh rujuk Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 1 (muka surat 113), Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 2 Jilid 1 (muka surat 79) atau Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 3 (muka surat 15) dan lain-lain halaman yang mengandungi pembelajaran tentang ayat seruan.

Itu baru sahaja dalam buku teks Bahasa Melayu tahap 1. Dalam buku teks tahap 2 juga tetap terdapat pengulangan tentang ayat seruan. Jadi, sekiranya murid-murid dapat menguasai dengan lebih awal, ini adalah suatu bonus kepada diri sendiri.

Pengenalan Ayat Seruan

Secara ringkasnya, Ayat Seruan ialah ayat yang diucapkan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, hairan, terkejut, gembira dan sebagainya. Selepas menulis kata seru, murid perlu meletakkan tanda koma (,) sebelum terus sambungkan dengan frasa yang lain.

Contohnya:
Wah, tulisan kamu sangat kemas!

Pada akhir ayat seruan ini pula, akan dilengkapkan dengan tanda seru (!). Tanda seru ini perlu di letakkan di penghujung ayat, menggantikan noktah (bukan bersebelahan kata seru).

Contoh-Contoh Kata Seru

Kata seru juga merupakan kata yang digunakan untuk melahirkan perasaan gembira, terkejut, kagum, kecewa, hampa dan hairan.

Contoh: wah, amboi, oh, eh, cis, nah, ah, aduhai dan wahai. Kata seru digunakan untuk membentuk ayat seruan.

Soalan Latihan Ayat Seruan

Isi tempat kosong di bawah menggunakan kata seru yang betul.

  1. __________, kamu ambillah pensel saya dahulu!
  2. __________, sakitnya kaki saya terpijak paku!
  3. __________, cantiknya jam baharu kamu!
  4. __________, berani engkau mencabar aku!
  5. __________, kamu telah terpilih sebagai pemenang!
  6. __________, malang sungguh nasib kucing terbiar itu!
  7. __________, rupa-rupanya kamu yang mencuri wang saya!
  8. __________, merahnya baju kamu!
  9. __________, kita sudah sampai di Port Dickson!
  10. __________ kawan-kawan, jom kita ke kantin bersama-sama!

Jawab Soalan Menggunakan Quizizz

Laman Quizizz merupakan salah satu laman pembelajaran yang boleh dimanfaatkan ketika melaksanakan pembelajaran jarak jauh. Soalan-soalan di atas boleh juga dijawab menggunakan laman Quizizz.

Saya telah membenamkan soalan-soalan berserta jawapan di pautan Latihan Bahasa Melayu (Ayat Seruan). Melalui pautan ini, murid dapat menjawab kuiz dan jawapannya akan terus dinilai.

Kemahiran menulis adalah tunjang kemahiran dalam menguasai bahasa. Setelah siap menjawab soalan atas talian, salin dalam buku tulis atau nota. Pastikan murid-murid menggunakan tanda baca (tanda koma , dan tanda seru !) serta huruf besar dengan betul. 🙂

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.