Home Dunia Pendidikan Kata Pemeri dalam Bahasa Melayu

Kata Pemeri dalam Bahasa Melayu

by Cikgu Ayu dot My

Pembelajaran hari ini saya pilih untuk ulangkaji tatabahasa, kata pemeri. Memandangkan kelas yang diajar ialah murid tahun 3, maka saya merujuk kepada Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 3 Jilid 1 (Halaman 57).

Guru-guru boleh merujuk dokumen standard 5.1.4 (vii). Item ini merupakan item yang baharu untuk murid tahun 3; juga diulang-ulang dalam kandungan pembelajaran di tahun 4, tahun 5 dan tahun 6. Boleh semak buku teks masing-masing.

Maksud dan Contoh Kata Pemeri

Secara ringkasnya, kata pemeri digunakan untuk menghuraikan subjek. Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

? ialah
? adalah

Sebelum guru menerangkan lebih lanjut tentang kata pemeri, murid perlu ada pemahaman yang kukuh untuk membezakan ketiga-tiga frasa ini:

  1. Frasa Nama (FN)
  2. Frasa Adjektif (FA)
  3. Frasa Sendi Nama (FSN)

Sekiranya murid masih tidak cekap mengelaskan frasa yang hadir selepas kata pemeri, murid ini akan cenderung untuk menggunakan kata pemeri yang kurang tepat.

Latihan Bahasa Melayu: Kata Pemeri

Berikut merupakan 10 soalan berkaitan penggunaan kata pemeri. Murid dikehendaki menjawab dan salin soalan serta jawapan yang tepat dalam buku tulis masing-masing.

  1. Hari ini _________ hari Jumaat.
  2. Tujuan membaca _________ untuk menambah pengetahuan.
  3. Bapa Lisa _________ seorang anggota tentera.
  4. Bantuan itu _________ untuk mangsa banjir.
  5. Ahmad _________ seorang pengawas sekolah.
  6. Jawapan yang diberikan _________ kurang tepat.
  7. Abdullah _________ bapa Nabi Muhammad.
  8. Segala tuduhan itu _________ tidak benar.
  9. Warna kereta kakak _________ merah jambu.
  10. Makanan kegemaran saya _________ Nasi Goreng Udang.

Semak Latihan Bahasa Melayu: Kata Pemeri

Guru-guru atau murid boleh menggunakan Wordwall untuk tujuan pembelajaran interaktif dan menyemak jawapan. Perbincangan antara ahli keluarga sangat digalakkan. Wordwall ini memerlukan talian internet yang baik untuk diakses.

Ulang Kaji Kata Pemeri

Semoga ulang kaji kata pemeri hari ini dapat mengukuhkan lagi asas pengetahuan kita terhadap aspek Tatabahasa. Penggunaan ialah dan adalah perlulah digunakan dalam konteks ayat dengan betul.

Related Posts

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.